Kau gilap lencana
pada gril hadapan Alphard yang kau tunggang seharian
yang megah menempikkan "D.I.M.P."
pada sekalian insan kecil
yang menghurung jalan raya
disekelilingmu
dan kau lahapkan
setiap kata puji dan bodekan
orang-orang yang kau pilih khusus
demi bakat mereka
memarakkan naluri takabbur
dihatimu
dan kau sakau
apa yang sempat kau sakau
agar dapat terus berdatukdatin
dengan rakan-rakan taikun dan parasit
yang kau temui di majlis-majlis penuh gah
yang kau santuni dalam laman majalah Tatler
kerana kau mengharapkan
semua nobatsilat itu
mampu mengabui perasaan malu
atas kedaifan jiwa dan kendirimu
dan dapat membuatkan kau lupa
walaupun untuk seberapa lama
bahawa kau juga manusia
yang harus makan dan minum
yang perlu kencing dan berak
yang akhirnya akan mati
sebagaimana orang lain juga harus mati.