Demi masa - ya, sesungguhnya Insan penuh rugi hidupnya Kecuali yang menaruh iman Dengan benar, menyampai pesan Dengan sabar, menyebar pesan. Terilham oleh Al Asr.
Tentang Gertak Izra’il
Jantungku terdetak
Seakan terhenti mendadak
Pesan tabib seakan mengasak
Jiwa gelora bergejolak
Siapa saja pasti tersentak
Bila Izra’il datang menggertak
Seluruh alam bagai menyalak
Bingit jiwa berapi marak
Wahai Tuhan Maha ar-Razzaq
Pada engkau jiwa berpasak.
Tentang Siapa Aku
Kau tak kenal aku siapa? Akulah Datuk si Fulan bin si Fulan Dahulu aku Pegawai Khas Datuk Sri Fulan Perdana Menteri al-Adl wal-Ihsan Takkan tak kenal aku siapa? Akulah pengasas Syarikat Al-Fulan Melabur uang juta-jutaan Satu KL kagum dan segan Akulah taikun duit berkoyan Kau belum tahu aku siapa? Bini aku artis kenamaan Paras terlawa, jadi bualan Hensem dan cantik, memang sepadan Di Insta dan TikTok jadi pujaan Semua kenal aku siapa! Esok mengopi dengan Datuk Fulan Lusa bergolof dengan Tan Sri Fulan Inilah aku Datuk kenamaan Hidup teratas arash kayangan!
Tentang Wewenang
Dalam buku hati ini
Ada sekalam pena
Yang menulis tanpa henti
Serangkaian kata sakti
Yang memujamuji
Keagungan-Nya
Tuliskanlah
Dalam warkah sepi ini
Kata-kata yang memujuk hati
Yang menuturkan sabar
Yang menghapuskan calar
Yang menyucikan sedar
Agar aku dapat tenang
Kau tulislah dengan sewenang!
Tentang Paman Tua Yang Menyapu di Bahu Jalan
Sang paman tua itu tekun menyapu lantai jalan yang sarat dengan sampah dan deraian harapan Keringat membanjiri dahi sang paman tua melungsuri lembahgaris pada wajahnya yang terbanjir dengan lelah dan selautan kepasrahan Tapi paman tua itu tidak putushenti menyapu jalanbatu itu sedang mentari makin mendaki ke ubun hari.
Tentang Harimati
Akan kunyanyi tralalalala
di harimati mu nanti
memperagakan s’gala amarah
yang telah lama terkunci
Langit bergema falalalala
di harimati mu nanti
malaikat turut raya gumbira
bila kau terbujur sepi
Dengan setiap wahana dusta
penipuan yang bertubi
kau robek musnah perasaannya
kau siat separuh mati
Kini masanya tralalalala
pembalasan yang terindah
t’rimalah habuan yang tergendala
pengabadian tergundah!
Tentang Penggilap dan Pelahap
Kau gilap lencana
pada gril hadapan Alphard yang kau tunggang seharian
yang megah menempikkan "D.I.M.P."
pada sekalian insan kecil
yang menghurung jalan raya
disekelilingmu
dan kau lahapkan
setiap kata puji dan bodekan
orang-orang yang kau pilih khusus
demi bakat mereka
memarakkan naluri takabbur
dihatimu
dan kau sakau
apa yang sempat kau sakau
agar dapat terus berdatukdatin
dengan rakan-rakan taikun dan parasit
yang kau temui di majlis-majlis penuh gah
yang kau santuni dalam laman majalah Tatler
kerana kau mengharapkan
semua nobatsilat itu
mampu mengabui perasaan malu
atas kedaifan jiwa dan kendirimu
dan dapat membuatkan kau lupa
walaupun untuk seberapa lama
bahawa kau juga manusia
yang harus makan dan minum
yang perlu kencing dan berak
yang akhirnya akan mati
sebagaimana orang lain juga harus mati.