Apa nasib umat Melayu Jadi bangsa paling tercandu Gula-gula ditabur mudah Demi pancing undi sepangkah Apa erti bangsa merdeka Kalau masih terleka alpa? Apa makna gelaran Tuan Kalau masih melukut rawan? Apa nasib umat Malaysia Masih segan mengaku bangsa Walhal sudah bertahun lama Ganding bahu membina nusa Apa erti kalimah warga Kalau masih adu sengketa? Apa makna bangsa Malaysia Kalau masih dilaga-laga? Apa nasib negara bangsa Masih belum kenal dirinya Walaupun gah di mata dunia Masih kerdil hati jiwanya Wahai semua anak pertiwi Mari sama berpadu janji Tolak tepi sangsi curiga Ayuh warga, bina Malaysia!
Tentang Melayu, 2023
(dengan pohonan maaf buat arwah Tongkat Warrant)
Melayu itu orang yang bijaksana,
Nakalnya beriring senyum,
Budi bahasa berbunga kuntum,
Kurang ajarnya tetap hormat,
Tutur kata tersusun cermat.
Tapi Melayu kini sudah mula berubah:
Bila menipu tak tau malu,
Bila menyakau berbilion disapu,
Bila mengampu lebat berkipas,
Taat pada bos tiada berbatas.
Tetap berani walau bersalah,
Walau ranap cembul khazanah,
Sudah jadi adat,
lidah menipu ligat.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Keturunan Nusantara adalah Melayu.
Sekarang ini taikun itu Melayu,
Peguam itu Melayu,
Akauntan itu Melayu,
CEO itu Melayu.
Tapi sayangnya,
Yang menunggang agama itu juga Melayu,
Yang memberi rasuah, Melayu,
Yang makan rasuah, memang ramai Melayu,
Yang sakau duit rakyat itu Melayu,
Tapi masih tergamak mengaku
kununnya dialah pembela Melayu.
Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara berani,
Melawan penjajah demi pertiwi,
Melorongkan jalur bangsa merdeka,
Mentadbir negara adil saksama.
Namun sayangnya,
Begitu luas khazanah negara,
Dijarah disakau pengkhianat bangsa.
Melayu itu kaya falsafahnya,
Kias kata pepatah lama,
Tapi sayangnya,
Akalbudi pupus dibedal,
Kuasa menang melawan akal.
Melayu sekarang kuat bersorak,
Bangga rezeki Tiktok secupak,
Sedangkan kampung lama tergadai,
Sawah ladang tinggal tersadai,
Tali di tangan mudah dibuang,
Timba yang ada diberi orang,
Dengan harga seguni Birkin,
Amanah rakyat dibuat main.
Melayu itu masih bermimpi,
Walaupun sudah mengenal Harvard, LSE,
Sanggup merompak bangsa sendiri,
Berkelahi cara UMNO,
"Ready to fight" jadi laungan,
Tapi tak sanggup bertarunglawan,
Marahnya dengan diam,
Musuh dibidik dengan meriam,
Menangnya cara kasar,
Ghanimah cita sebenar.
Melayu asalnya menolak permusuhan,
Tapi Melayu hari ini tiada sempadan,
Kalau menang, menang terpaling,
Kalau kalah, ke lubang cacing.
Maruah dan agama jadi tunggangan,
Berlumba demi mencari gelaran,
Alphardnya hitam berkilat,
Lencana kereta mempamer pangkat,
Banglo besar di Bukit Jelutong,
Hidupnya berkiblat laba dan untung.
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan,
Semua ujaran Presiden patuh diturutkan,
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Nak hidup, bos!"
Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu,
Masihkah sanggup asyik tertipu?
Jika yakin kuasa Ilahi,
Usah penyamun dijulangtinggi,
Jika percaya kepada keadilan,
Jangan malu perjuang kebenaran.
Jadilah bangsa bijak dan gagah,
Tolak penghasut tolak perasuah,
Peganglah erat talian Allah,
Jadilah tuan negara bermaruah.
Tentang Hidup Seorang Melayu Borjuis
Aku selalu bingung.
Aku diajar untuk patuh taat. Ikut perintah ayah. Ikut perintah mak. Ikut perintah guru. Patuh arahan loceng sekolah, patuh pengawas, patuh peraturan sekolah.
Aku ikut. Patuh. Belajar rajin-rajin. Masuk universiti. Dapat degree. Kerja keras. Beli kereta. Beli rumah. Kawin. Dapat anak. Dapat kenaikan pangkat. Kalau untung, dapat gelar Datuk, gelar Tan Sri.
Patuh arahan lampu isyarat, patuh undang-undang, patuh saranan Kerajaan.
Semuanya aku ikut. Jadi kenapa aku masih rasa bingung? Kenapa aku selalu rasa ada benda yang memulas dalam perut, memulas dalam kepala, katanya kenapakausiniapakaunaksiapaengkauapamaksudsemuaini?