Tentang Perjuangan Cekal

Ayuh, mu’minin, berjuanglah!

Dua puluh yang cekal
Mampu menawan dua ratus
Dan seratus yang cekal
Mampu menawan seribu yang kafir bebal!

Dan Tuhan telah meringankan beban
Kerana Dia Tahu engkau berkelemahan

Maka seratus yang cekal
Mampu menawan dua ratus
Dan seribu yang cekal
Mampu menawan dua ribu
Dengan izin Allah ‘Azza wa Jall

Kerana Tuhan senantiasa bersama
Para mu’min yang cekal tawakkal!

Terilham oleh Q8: Al Anfal 65-66

Tentang Takabbur

Siapa Tuhan kamu?
- Allah Tuhanku.

Tapi siapa Tuhan kamu?
- Allah sesungguhnya Tuhanku.

Ah, siapa sebenarnya Tuhan kamu?
- Tiada melainkan Allah sahajalah Tuhanku.

Kamu kata Allah itu Tuhan kamu,
tapi yang kamu puja dan sanjung dan yang kamu sembah,
adalah:
wang ringgit yang kau kantungkan
kereta besar yang kau supirkan
bisnes dagang yang kau buru
gadis polos yang kau pujukrayu
pingat gelar yang kau pamerkan
puji bodek yang kau cembungkan

Dan yang paling kau sembah melainkan segalanya,
yang kau agungkan melangkaui semuanya, ialah:
nafsu engkau yang kau turutkan
ego engkau yang kau lambungkan
status engkau yang kau gilapkan
diri engkau yang kau akbarkan

Maka hari ini
terimalah habuanmu
wahai sang hamba yang angkuh haloba
wahai insanhina yang ujub bangga:
“Man Rabbuka” pencetus debur
leburlah engkau dalam takabbur
lumatlah engkau sehingga hancur.