Tentang Ambik dan Kena Ambik

Nah, ambiklah semua
cuti peristiwa
dana serbi-serba
elaun tambahan
bantuan usahawan
kenaikan gaji 
bekalan air free

Semuanya aku bagi
asalkan pangkah undi
supaya esok nanti
tambahan masa untuk aku
ambik apa yang aku mahu. 

Tentang Nasib Umat

Apa nasib umat Melayu 
Jadi bangsa paling tercandu 
Gula-gula ditabur mudah
Demi pancing undi sepangkah 

Apa erti bangsa merdeka 
Kalau masih terleka alpa? 
Apa makna gelaran Tuan 
Kalau masih melukut rawan?

Apa nasib umat Malaysia 
Masih segan mengaku bangsa 
Walhal sudah bertahun lama 
Ganding bahu membina nusa 

Apa erti kalimah warga 
Kalau masih adu sengketa? 
Apa makna bangsa Malaysia 
Kalau masih dilaga-laga?

Apa nasib negara bangsa 
Masih belum kenal dirinya 
Walaupun gah di mata dunia 
Masih kerdil hati jiwanya 

Wahai semua anak pertiwi 
Mari sama berpadu janji 
Tolak tepi sangsi curiga 
Ayuh warga, bina Malaysia!

On Changes

I’m goin’ through changes -
the vicissitudes of Life,
they ain’t stop’n for me.

Tentang Linangan Gundah

Singgah tiba di pekan Cheras
Jangan lupa membeli keris
Linang mata mengalir deras
Hati hiba bagai dihiris

Keris Jawa berliuk-liuk
Alat jati pendekar Naning
Hati hiba tiada terpujuk
Buah hati terlantar gering

Alat jati tanda keramat
Keris tuah menikam bengis
Buah hati gering teramat
Hamba gundah berendam tangis.

(pantun kasih buat Monkey)

Tentang Birat-Birat

Birat-birat itu adalah
Biru lebam yang belum padam
Seakan cakaran yang cukup dalam
Pada tubuh dan jiwamu
Takkan kau lupakan
Meskipun bertahun lamanya
Meskipun dia sudah lama mati
Dendam marah itu masih sebati
Marak kesumat
Merah meligat
Api kecewa seorang anak yang terbangsat.