Birat-birat itu adalah
Biru lebam yang belum padam
Seakan cakaran yang cukup dalam
Pada tubuh dan jiwamu
Takkan kau lupakan
Meskipun bertahun lamanya
Meskipun dia sudah lama mati
Dendam marah itu masih sebati
Marak kesumat
Merah meligat
Api kecewa seorang anak yang terbangsat.
On Passing Away
Gaunt and thin
Shallow breath
Frenzied beat
and then a sharp swift fall
He takes a final breath
and leaps heavenward
leaving us behind to
grieve.
Tentang Pergelutan Setiap Malam
Setiap malam kau harus bergelut dengan suara bisik desisan yang mengumpan gundah dan amarah: kau tak layak kau tak mampu siapa engkau apa hak kau Dan setiap malam kau tak mampu terlelap mata parau memandang ke siling bilik yang mengejek mencebik: kau pasti gagal kau anak tersial kenapa engkau mengapa kau Setiap malam kalaulah mampu ingin aku pinjamkan selaut kasih dari hati tulus ini agar menjadi perisai yang melindungimu dari bisik cebik itu dan menyelimutimu agar lena dibuai kasihsayang selamat dalam teduhan tenang.
Tentang Soldadu Yang Pulang
Sejak dari awal Dalam lapangan juang ini Kau memegang peran terpendam Soldadu tenang dan berani Mengangkat panji amar Menyeka noda mungkar Berpesan dengan penuh haq dan sabar Kendatipun jalanmu berliku Terpulau dari saf haraki itu Kau tetap beranut pada jalan sederhana Berjuang penuh ikram Melawan tiada berdendam Menyanggah tanpa menikam Budi santun bersulam erat Gigih usaha sepenuh kudrat Pesanmu pada kami Di setiap penghujung hari Ketika tubuh merebah letih Doa dipohon beriring tasbih: "Moga semua dosa mereka Dan dosa diriku jua Diampun maaf oleh Yang Esa." Maka tidur tenang berlena Hati sejuk diredup redha Kini kau pulang ke alam baqa: Sandarkanlah panjimu itu Rehatkanlah beban sang soldadu Damai aman kini milikmu. (buat Allahyarham Salahuddin Ayub, moga rohnya diberkati dan dilindungi Allah jua)
Tentang Jalan Mustaqim
Sewaktu aku masih muda
Aku sering membayangkan
Masa depan yang penuh petualangan
Pancaroba dunia yang mendewasakan
Pentas puji yang memuliakan
Dan kini, di usia begini
Aku lebih mengerti
Bahwa kehidupan panjang ini
Hanya sedetik di mata Ilahi
Dan seluruh dunia tercipta ini
Hanyalah satu gelanggang uji
Yang memaknakan hina dan seri insani
Setiap darjah rendahtinggi
Hanya terukur dari iman dan amal abdi
Semuanya diatur sejak azali
Menurut dustur Tuhan ikrami
Maka aku insaf mengenangkan
Kerdil hina seorang insan
Segala adu perang
Semua tuah malang
Setiap jatuh julang
Hanya umpama debu jalanan
Di jalan mustaqim kewujudan.
Tentang Deruan Hari
Dalam deruan hari-harimu
Apakah mungkin terlintas di fikiranmu
Bahawa semua gembar-gembur kehidupan seharian ini
Adalah umpama buih-buih pada wajah samudera
Terlambung seketika di udara
Terwujudnya sedetik cuma
Dan akhirnya terlucut dari pentas dunia?
Tentang Jenuh Pencarian
Jenuh kau mencari
Jalan pulang ke azali
Setapak demi setapak
Kau harungi titian rapuh
Kau susuri setiap selekoh
Dan kini akhirnya
Kau bertemu jalan penghujung
Setiap onak duri
Setiap luka ngeri
Telah mengiring kau ke sini
Kini, di medan ini
Segala dosa pahala
Segala gundah gembira
Segala sengit saksama
Tamat dan bersemadi
Pupus tiada kembali.
Tentang Takabbur
Siapa Tuhan kamu?
- Allah Tuhanku.
Tapi siapa Tuhan kamu?
- Allah sesungguhnya Tuhanku.
Ah, siapa sebenarnya Tuhan kamu?
- Tiada melainkan Allah sahajalah Tuhanku.
Kamu kata Allah itu Tuhan kamu,
tapi yang kamu puja dan sanjung dan yang kamu sembah,
adalah:
wang ringgit yang kau kantungkan
kereta besar yang kau supirkan
bisnes dagang yang kau buru
gadis polos yang kau pujukrayu
pingat gelar yang kau pamerkan
puji bodek yang kau cembungkan
Dan yang paling kau sembah melainkan segalanya,
yang kau agungkan melangkaui semuanya, ialah:
nafsu engkau yang kau turutkan
ego engkau yang kau lambungkan
status engkau yang kau gilapkan
diri engkau yang kau akbarkan
Maka hari ini
terimalah habuanmu
wahai sang hamba yang angkuh haloba
wahai insanhina yang ujub bangga:
“Man Rabbuka” pencetus debur
leburlah engkau dalam takabbur
lumatlah engkau sehingga hancur.