Kalau hayat tinggal sedepa Bangkit cergas lunturkan alpa Kalau hayat tinggal sehasta Jangan leka bergurau senda Kalau hayat tinggal sejengkal Usah risau perkara dangkal Kalau hayat tinggal seinci Ucap shuhud pada Ilahi!
Tentang Hayat Yang Bakal Ditiup Angin Lalu
Apa erti barisan pantun
Hanya debu di angin lalu
Dalam jalur masa berkurun
Jumlah hayat seolah abu.
Tentang Merenung Masa Sambil Makan Kari Kepala Ikan Jenahak
Sambil makan kari jenahak
Sembang tentang gerakan dakwah
Lalu aku menung sejenak
Kenang zaman yang telah sudah
Waktu muda mata berbinar
Zaman penuh idealisma
Hati marak jiwa berdegar
Mahu ubah aturan dunia
Derap masa berlalu pantas
Tali hayat semakin tipis
Tiap saat seakan emas
Berat nilai seolah pitis
Generasi warisi zaman
Pentas juang bertukar peran
Anak muda teruskan lawan
Obor watan kami turunkan
Tiap zaman bersilih ganti
Tiada dapat disekat tahan
Roda masa tiada henti
Hingga saat yang pengakhiran.
Tentang Penjelasan
Aku enggan meminta-minta
Dan tiadalah engkau pun pula
Jenis insan gemar berpura
Tutur bingkas tiada bergula
Aku ingin berterus terang
Tanpa perlu gendang genderang
Ini aku: bertopeng tiada
Ambil aku, ambil segala.
Tentang Pembaziran Masa
Habis madu sepah dibuang
Kerna kumbang bunga terkeji
Habis masa bazir melayang
Demi wayang masyuk sendiri.
Tentang Sumbu Diri dan Kehidupan Bekerja
Hari hari menatang kerja
Tanpa lelah siap tugasan
Sumbu diri berkobar nyala
Sakit sengal masing rahsiakan.
Tentang Tokoh-Tokoh Berjiwa Tikus
Watak kerdil bercakap besar
Otak pejal berlagak pintar
Kerja malas beralas gambus
Begitulah sang tokoh tikus!
Tentang Harta Yang Dikiblatkan
Adat asal orang Melayu
Hidup zuhud segala serbi
Resmi padi meranum gebu
Makin tunduk bila berisi
Kini adat makin terhakis
Kompas hidup terpesong lari
Iman jadi tunggangan laris
Harta jadi kiblat dihati
Kini orang Melayu alpa
Hanyut dalam dakapan nista
Islam jadi sekadar nama
Anutannya kapitalisma
Laman IG medan bermegah
Harta koyan jadi pameran
Tiap hari berwayang olah
Sandiwara jadi langganan
Hidup dunia fatamorgana
Bayang maya penuh ilusi
Jangan sampai termakan dusta
Tipu Musuh memesong hati
Ayuh pulang ke jalan mula
Tenang hati tiada sesal
Dunia ini bayangan jua
Akhiratlah dunia yang kekal.
Tentang Geng dan Musuh
Awal hari mundar-mandir
Cari makan pagi buta
Kalau kau geng, DNAA
Kalau musuh, kena sita.
Tentang Jeritan Yang Terlumat
Dalam jiwa penuh jerangkung
Trauma lama belum terubat
Dalam hati menjerit raung
Mulut diam terkunci lumat.