Antara kenangan yang paling terkesan sewaktu mengimbau zaman persekolahan adalah pengucapan Rukunegara ketika perhimpunan sekolah: suatu ingatan yang kini tertinta sepia dalam rona yang tidak jauh bezanya dengan warna kulit buku latihan sekolah, yang pada waktu itu mengungkapkan Rukunegara pada kulit belakang setiap buku. Seolah ada keazaman yang sungguh pada waktu itu, untuk menukilkan kata dan semangat Rukunegara pada kotak fikir setiap anak kecil yang bersekolah di zaman itu.
Mungkin pada zaman awal 80-an itu, ingatan kepada tragedi Mei 1969 itu masih hangat di fikiran. “Never again”, “jangan pernah lagi”: begitu agaknya ikrar masyarakat umum pada waktu itu, yang enggan pulang kepada detik kehuruharaan dan saling berbunuhan yang mencorakkan era itu.
Kini, Rukunegara jarang-jarang sekali kita ketemui dalam kehidupan seharian. Tiada diucap, tiada disiar, seolah kenangan terhadap Rukunegara itu semakin malap, mungkin seiring juga dengan kenangan terhadap peristiwa 13 Mei itu sendiri, yang kini tinggal dalam lipatan sejarah dan ingatan seangkatan warga yang semakin meniti usia tua.
Mungkin akibat malapnya juga ingatan terhadap peristiwa sangkakala itulah, maka perasaan rasa kesopanan dan kesusilaan antara warga kita juga seolah makin terhakis tiap hari.
Setiap guris hati diperbesar dan diapikan menjadi pertikaian besar dan liar. Perkara asas yang mendasari masyarakat majmuk yang aman sentosa diamat dan dibongkar semula, dijadikan senjata untuk menjulang retorik dan cita-cita politik. Seolah negara ini sudah makin rapuh. Seolah warga Malaysia ini semuanya sudah bersedia dengan keris dan parang dan cemeti untuk menyembelih sesama sendiri.
Begitulah citra yang mungkin mahu diasah oleh segolongan mereka yang rajin berhunus di medan Facebook dan Twitter dan Instagram. Begitulah tampaknya cita-cita sesetengah puak yang merasakan bahawa cacimaki dan batuapi itu hanyalah jalan mudah untuk meraih sokongan, sewaktu merasakan diri semakin hilang di mata pengundi yang dahulunya setia mengikuti dan menjuarai mereka.
Malah dalam retorika awam secara umumnya, uratsendi perpaduan negara seolah semakin hari semakin dilapahmamah oleh semangat kepuakan dan kepongahan. Manakan tidak, apabila seolah-olah setiap baris Rukunegara itu semakin dihakis dan dihiris:
- bila Perpaduan diambil ringan, dan kepentingan nasional dikesampingkan demi kepentingan puak bangsa dan agama yang sempit dan cetek;
- bila Demokrasi dipandang sepi oleh segolongan yang dimomokkan dengan kepercayaan bahawa seolah-olah mengagungkan ajaran Tuhan itu bererti menolak hak warga dan insan untuk memilih cara hidup mereka sendiri dalam lingkungan perundangan yang sedia ada;
- bila Keadilan diinjakpijak sehingga kebobrokan moral – rasuah, salahguna kuasa, perompakan harta rakyat – dihalalkan atas nama perpaduan dan kuasa;
- bila perkataan “Liberal” itu dijadikan satu perkataan jijik yang diejek dan dimusuhkan di mimbar-mimbar masjid, seolah kononnya kehidupan liberal itu tiada beza dengan hedonisme dan perlakuan haram;
- bila “Progresif” itu diejek seolah mahu menolak ajaran salaf yang sudah tentunya takrifannya dikawalkekang oleh segolongan yang berkepentingan.
Sepertimana jatuhnya empayar Islam di Sepanyol, sepertimana gugurnya kerajaan Melaka di tangan Portugis, sepertimana terkorbannya republik Weimar di tangan Hitler, setiap kejatuhan bangsa itu tidak akan berlaku melainkan dengan tangan-tangan bangsa itu sendiri, yang menikam diri ataupun hanya berdiamsepi.
Sudah tiba masanya warga kebanyakan menolak pengapian segolongan pemimpin palsu yang sanggup melemparkan ungkit dan nista demi kepentingan dan kelarisan politik. Sudah tiba masanya rakyat umum meletakkan garis pemisah bagi menentang mereka yang berani bermain api, berlakon sebagai pembela demi untuk menyula keamanan bangsa.
Sudah tiba masanya kita menghidupkan kembali Rukunegara yang sepatutnya mengikat kita dalam talian kesopanan dan kesusilaan yang mesra dan saksama.